Sunday, November 15, 2009

Dream, Hope & Change

Assalamu'alaikum Warahmatullah. .Salam Perjuangan..

Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lembayung kasih sayang dan rahmat Ilahi..

Pemimpin datang dan pergi silih berganti, tidak pernah putus walau semusim. Yang lama pergi meninggalkan kenangan dan pengalaman, yang baru datang membawa impian dan harapan.

Meluruskan Impian

Setiap insan mempunyai impian. Ada yang mempunyai impian yang kecil, ada yang mempunyai impian yang besar. Insan yang tidak memiliki impian, adalah insan yang tiada harapan.

Impian inilah yang akan memandu jalan kehidupan. Impian inilah yang akan menentukan setiap keputusan. Sekiranya impian ini terpesong daripada landasan Islam, maka kehidupan seseorang itu juga akan terpesong dan jatuh ke lembah kesesatan.

Oleh itu, wajib bagi setiap insan meluruskan impian mereka agar selari dengan fitrah dan tujuan manusia dijadikan oleh Allah S.W.T, iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Untuk meluruskan impian ini, setiap muslim perlu bertanya kepada diri masing-masing, Apa erti saya menganut Islam?

Begitu juga impian setiap ahli sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi sebuah jemaah Islam, perlu diluruskan. Apa tujuan saya menyertai persatuan/jemaah ini?

Meluruskan sebuah impian bukanlah suatu yang sukar, kerana impian yang lurus terhasil daripada Aqidah yang lurus. Paksi kepada Aqidah yang lurus adalah ilmu yang benar.

Ilmu yang benar adalah ilmu yang bersumberkan wahyu yang sahih. Sumber kepada wahyu ada 2, iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah (al-Hadith).

Al-Qur'an sudah dijamin oleh Allah S.W.T akan keasliannya, namun As-Sunnah tiada jaminan secara langsung daripada Allah S.W.T namun telah diilhamkan kepada para alim ulama' untuk merangka suatu sistem bagi menjamin keaslian sesuatu Sunnah itu, benar-benar ada 'asal'nya daripada Rasulullah S.A.W..Lalu lahirlah apa yang dikenali sebagai ilmu Mustholah Hadith.

Oleh itu, bagi meluruskan sebuah impian, maka perlu dipastikan ilmu yang menjadi sumber kepada impian itu adalah benar2 sahih daripada wahyu.

Menguruskan Harapan

Setiap daripada insan juga memikul harapan, sama ada harapan itu adalah daripada diri sendiri, kerabat terdekat, sahabat handai dan yang paling penting harapan daripada Sang Pencipta, Allah Azzawajalla.

Begitulah halnya juga di dalam jemaah. Setiap ahli memikul harapan. Harapan yang datang daripada segenap sudut. Harapan yang menyesakkan minda sekiranya ingin dihitung satu persatu.

Dan harapan ini harus diuruskan dengan baik agar ianya dapat dilunasi. Sabar dan teliti adalah kuncinya manakala gopoh dan cuai adalah musuhnya.

Memulakan Perubahan

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu mengubahnya sendiri."

Perubahan perlu dimulakan di dalam diri. Jika diri tidak berubah untuk menjadi lebih baik, maka harapan dan impian untuk mengubah orang lain mungkin tidak akan berjaya.

Sesebuah jemaah itu sendiri perlu dimantapkan organisasi dan pengurusan dalamannya, barulah segala perancangan untuk menyampaikan dakwah, mengkaderkan ahli dan membina pengaruh akan berjaya.

Pengurusan yang cincai dan caca-merba hanya akan melahirkan tindakan yang sambil lewa. Ibarat melepaskan batuk di tangga.

Objektifnya perlu jelas, Sasarannya/Mad' unya perlu tepat, Konsepnya/Pengisian nya/Aturcaranya perlu selari, Bajetnya perlu mencukupi.

Ini adalah elemen yang penting di dalam menentukan jatuh bangunnya sebuah organisasi. Sekiranya elemen ini diabaikan atau dianggap karenah birokrasi yang menyusahkan, maka tunggulah sahaja saat dimana organisasi tersebut akan jatuh atau pemimpinnya akan dijatuhkan.

Kesimpulan

Seorang pemimpin adalah orang yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi.

Antara kunci kejayaan seorang pemimpin adalah dia faham apa tanggungjawabnya, dan dia tahu apa yang perlu dilakukannya untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Saya kongsikan di bawah 21 perkara yang perlu diambil perhatian oleh setiap pemimpin. Wallahua'alam.

1. KARAKTER : Anda Perlu Cekal Seperti Batu

2. KARISMATIK : Kadangkala Pandangan Pertama Sudah Mencukupi

3. KOMITMEN : Membezakan Antara yang Melakukan dengan yang Hanya Berangan-Angan

4. KOMUNIKASI : Tanpanya, Anda Hanya Bergerak Seorang Diri

5. KECEKAPAN : Jika Anda yang Melakukannya, Mereka Pasti akan Mengikut

6. KEBERANIAN : Satu Orang yang Berani Sama dengan Sebuah Majoriti

7. KEBIJAKSANAAN: Tiada Lagi Misteri yang Tidak Dapat Diselesaikan

8. FOKUS : Semakin Tajam Fokus Anda, Semakin Tajam Kemahiran Anda.

9. BERMURAH HATI : Cahaya Lilin Anda Tidak Malap Apabila Menyalakan Lilin yang Lain.

10. INISIATIF : Tanpanya Anda Tidak Mungkin Keluar Dari Rumah.

11. MENDENGAR : Bagi Menyentuh Perasaan Mereka, Gunakan Telinga Anda.

12. KEGHAIRAHAN : Hargai Setiap Hari dalam Hidup Anda.

13. SIKAP POSITIF : Jika Anda Percaya Anda Boleh, Anda Pasti Boleh.

14. MEYELESAIKAN MASALAH : Jangan Biarkan Masalah Anda Menjadi Masalah.

15. HUBUNGAN YANG BAIK : Jika Anda Mempunyai Hubungan yang Baik, Mereka Akan Mengikut Anda.

16. BERTANGGUNGJAWAB : Jika Anda Tidak Sanggup Memikulnya, Anda Tidak Layak Memimpin.

17. BERPENDIRIAN TEGUH : Kecekapan Tidak Mungkin Dapat Menggantikan Keyakinan Diri.

18. DISIPLIN : Kecekapan Pertama yang Perlu Anda Pimpin adalah Diri Anda Sendiri.

19. SEDIA BERKHIDMAT : Bagi Terus Maju, Dahulukan Orang Lain.

20. KEMAHUAN HENDAK BELAJAR : Teruslah Belajar Supaya Dapat Terus Memimpin.

21. VISI : Anda Tidak Boleh Kejar Apa yang Anda Tidak Dapat Lihat.


- catatan : Adib Faisal Bin Yaacob

No comments:

Mari berzikir...

2nd baby...

Lilypie Pregnancy tickers

Kondisi baby...

Lilypie Maternity tickers