Sahabatku2 yang dikasihi.....
Di rimbunan pohon Islam ini, kita hulurkan salam perjuangan. Kita elak segala sengketa dan prasangka untuk membina keharmonian dalam persaudaraan. Kita dipilih dan dikumpulkan di sini adalah untuk mengutip sebanyak mana ilmu sebagai bekalan jiwa dan panduan hidup, dalam menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi pada alaf mendatang. Kita bagaikan digelar satu keluarga. Ketika kita duduk berkumpul, berbincang bersama, sapa menyapa, saling berbalas senyum; namun belum tentu terbit rasa ukhuwah, apatah lagi berkasih sayang. Ada yang boleh bergurau senda bagai nak rak, ketawa berdekah-dekah, tapi hati di dalam, renggang bagai retak menanti belah. Sedikit tersentuh, meledaklah marah. Lalu, dilupakanlah segala kebaikan kawannya itu. Mengapa perkara ini terjadi?
Sahabatku,
Insan hanya dapat disatukan setelah hati-hati kita berpegang kuat dengan tali keTuhanan. Sama-sama mengingati Allah dengan berserah diri pada-Nya. Sama-sama menyintai Allah dengan menegakkan kalimah-Nya. Sama-sama takut akan Allah dengan mentaati syariat-Nya. Pertautan yang lahir dari ingatan rasa takut dan cinta kepada Yang Satu itu pasti akan membentuk ikatan ukhuwah yang padu, bersatu tujuan dan selaras kefahaman. Kerana Allah, kita akan cintakan kebajikan, hati akan mampu berbelas kasih kepada mukmin yang lain, seumpama mengasihi diri sendiri. Kerana Allah juga, kita akan mudah bermaafan dan hati akan rela berkorban. Kita juga akan sanggup mengenepikan segala kepentingan peribadi. Kesatuan seperti inilah yang akan memakmurkan bumi. Lebih-lebih lagi dalam dunia kita yang kecil ini. Inilah yang kita rindu dan impikan…dunia harmoni dan aman damai.
Oleh itu sahabatku, marilah kita hidupkan kasih sayang. Wujudkan rasa kita saling memerlukan. Ini sesuai dengan asal kejadian kita yang sama. Kita semua dicipta oleh Allah dalam keadaan yang hina, serba kekurangan dan tiada daya upaya.Rasa itu perlu supaya kita nantinya dapat saling bahu-membahu dalam menunaikan amanah Ilahi. Insaflah, adanya perbezaan taraf pemikiran yang Allah aturkan adalah sebagai Rahmat-Nya menjadikan kita…saling memberi, saling mengisi dan sumbang- menyumbang. Kita perlu saling menghormati dan saling mengasihi kerana kita sebenarnya memang saling memerlukan. Kerana itulah, bila ditanya oleh Saidina Muaz : “Bagaimanakah untuk selamat pada hari hisab nanti?” Rasulullah menjawab : “Engkau mengasihi orang lain sebagaimana engkau mengasihi dirimu sendiri”.
Mudah-mudahan kita semua memperolehi keredhaan Allah di dunia dan di akhirat…amin. Sekian dahulu, sampai jumpa lagi. Assalamualaikum.
~moon~
No comments:
Post a Comment